Rakyat Hidup Bersatu Dan Maju Selepas 24 Jam Menang PRU14 Follower IG Tun Mahathir Naik Setengah Juta

 

Daripada 120,000 followers pada malam pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jumlah pengikut akaun Presiden Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad meningkat sebanyak lebih 500,000.

Kini, selepas 24 jam memenangi PRU14, jumlah pengikut akaun Instagram beliau mencecah 648,000.Uniknya, Tun Mahathir cuma mengikut 7 akaun Instagram sahaja dan salah satunya merupakan akaun penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Selebihnya, akaun anaknya sendiri Mukhriz Mahathir dan beberapa persatuan politik tempatan seperti Armada PPBM, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan akaun rasmi Pakatan Harapan sendiri.

Manakala, akaun yang mula aktif pada 15 Mac 2018 itu hanya memuat naik 14 keping gambar termasuk yang terbaharu pada malam tadi selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Kemaskini foto-foto akaun Instagram Tun Mahathir juga menghiburkan pengikut beliau dengan kapsyen foto yang bersahaja dan melucukan.

Sehari selepas Pakatan Harapan (PH) menang majoriti kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) secara rasminya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-7.

Istiadat majlis tersebut diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, semalam.

Pelantikan Tun M yang dijangka belangsung pagi semalam ditunda sehingga mendapat perkenan Sultan Muhammad V yang diadakan pada malam tadi.

Tun M mencipta sejarah negara sebagai Perdana Menteri yang dilantik buat kali kedua mengikut sistem demokrasi dan Perlembagaan Malaysia.

Malah, usia Tun M yang mencecah 93 tahun pada tahun ini menjadi perdana menteri tertua dalam sejarah Malaysia dan dunia!

Kejayaan Tun M kembali memimpin negara juga bersejarah apabila menggantikan parti Barisan Nasional yang memerintah sejak mencapai kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Pengerusi PH itu mengetuai gabungan parti komponen terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah, Warisan dan DAP membentuk kerajaan selepas menang majoriti 122 daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Tun M yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia keempat pada tahun 1981 sehingga 2003 juga menang kerusi Parlimen di Langkawi pada PRU14 kali ini.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *