Harapan Bermula Dengan Satu Sinar

Harapan Bermula Dengan Satu Sinar

KUALA LUMPUR: PKR mempertikaikan pengumuman 3 menteri kanan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengatakan perkara itu belum dimuktamadkan dan pelantikan masih sedang dibincangkan dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertikaikan ini muncul selepas Dr Mahathir hari ini menamakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri dalam negeri dan Presiden Amanah Mohamad Sabu sebagai menteri pertahanan.

Beberapa jam kemudian, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan mengatakan perbincangan dengan Dr Mahathir dan Anwar sedang berjalan.

Beliau berkata Dr Mahathir dalam perjalanan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras untuk bertemu Anwar yang sedang menjalani rawatan.

“Sebarang keputusan mengenai apa-apa perlantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti di dalam Pakatan Harapan.

“PKR yakin proses rundingan yang mengikuti semangat muafakat akan membantu mengukuhkan kerajaan Pakatan Harapan,” kata Rafizi, dan menambah ramai bertanyakan kepadanya tentang mengapa jawatan kanan tidak diberikan kepada PKR.

Dr Mahathir hari ini juga mengumumkan satu majlis penasihat untuk membantu kerajaan baharu. Ia dianggotai bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, hartawan Tan Sri Robert Kuok, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas presiden Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican, pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram, pakar ekonomi, Muhammad Abdul Khalid, dan tokoh kewartawanan, Datuk A Kadir Jasin.

Majlis ini diketuai oleh Daim. Dr Mahathir berkata 7 jawatan menteri penting lain akan diumumkan selepas mempertimbangkan nama yang dicadangkan PH.

KENYATAAN RASMI RAFIZI RAMLI
RUNDINGAN JEMAAH MENTERI MASIH BERJALAN DAN BELUM DIMUKTAMADKAN

Saya merujuk kepada pengumuman yang dibuat YAB Tun Mahathir Mohamad sebentar tadi mengenai perlantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan iaitu Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan.

Saya telah ditanya mengenai ketiadaan wakil KEADILAN di dalam mesyuarat dan semasa pengumuman perlantikan.

Saya ingin menjelaskan beberapa perkara yang menjadi latar belakang kepada pengumuman tersebut:

1. KEADILAN beranggapan perbincangan masih berjalan dan pengumuman yang dibuat tidak muktamad; dan

2. Sebarang keputusan mengenai apa-apa perlantikan mestilah dipersetujui secara bersama oleh keempat-empat parti di dalam Pakatan Harapan.

YAB Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad sedang dalam perjalanan untuk berbincang dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilisasi Cheras mengenai perlantikan-perlantikan ini.

KEADILAN yakin proses rundingan yang mengikuti semangat muafakat akan membantu mengukuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

RAFIZI RAMLI, NAIB PRESIDEN KEADILAN

SUMBER : RAFIZI RAMLI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *